BANGI — Lima penghantar makanan didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki yang diikat dan dipukul sehingga videonya tular, minggu lalu.
Mereka ialah Mohd Yuree Ranoff Mohd Bachuri, 41; Azharul Azuan Mohd Azan, 34; Tengku Izham Tengku Hamid, 22; Mahazir Nordin, 43, dan Syamsul Qamar Ayob, 40.
Semua lelaki itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurdiyanah Mohd Nawawi.
Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa membunuh Shahril Samad, 41, di Jalan TPS 2/3 Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang di sini pada 9.54 malam, 20 Februari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat sebanyak 12 kali.