Social
166

5 remaja ditahan, 30 kenderaan disita

Kuantan –  Polis menahan lima remaja dan menyita 30 kereta dipercayai terbabit dalam aktiviti lumba haram dalam operasi di Taman Perindustrian Indera Mahkota 14, dekat sini, semalam.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, operasi selama tujuh jam bermula 5 petang itu mendapati lima remaja berkenaan memandu tanpa lesen dan laluan sepanjang 250 meter di taman itu sering dijadikan ‘litar’ bagi pelumba haram beradu kelajuan.

“Dua kereta akan dilepaskan serentak bagi menentukan kenderaan yang paling laju untuk diumumkan sebagai pemenang. Semua kenderaan didapati melakukan pengubahsuaian pada enjin dan bahagian dalaman bagi membolehkan pemandunya mencapai kelajuan maksimum,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Trafik Kuantan di sini, malam tadi.

Menurut Bakri, siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengenal pasti sama ada perlumbaan itu turut membabitkan wang pertaruhan kerana polis percaya ia bukan kali pertama dianjurkan.

Operasi berkenaan membabitkan tujuh pegawai dan 25 anggota dari JSPT Bukit Aman, Ibu Pejabat Kontinjen Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Polis turut menyoal siasat beberapa wanita dan kanak-kanak, dipercayai ahli keluarga yang dibawa bersama-sama untuk menonton perlumbaan itu, sebelum mereka dilepaskan selepas proses dokumentasi, katanya.

Bakri berkata siasatan dijalankan atas pelbagai kesalahan termasuk Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menduga kelajuan secara tidak sah yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, polis turut menyiasat jika berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang berkuat kuasa di Pahang. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu