Social
234

5 rumah teres musnah terbakar

Seremban – Lima unit rumah teres di kawasan perumahan rakyat Mantin dekat sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mantin Penolong Penguasa Bomba Priscilla Carol Thomas berkata seramai 13 anggota BBP Mantin dengan bantuan BBP Nilai bergegas ke lokasi berkenaan, selepas menerima panggilan mengenai insiden itu pada 11.44 pagi.

“Empat rumah hangus 100 peratus manakala sebuah rumah lagi hanya melibatkan kemusnahan 20 peratus sahaja yang mana setiap rumah berkeluasan 18×20 kaki persegi.

“Bagaimanapun ketika kejadian tiada mangsa dilaporkan cedera kerana tiga rumah tersebut tidak berpenghuni, manakala dua keluarga yang tinggal di dua rumah berkenaan sempat melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 12.50 tengah hari selain pihaknya masih menyiasat punca dan jumlah kerugian.

Sementara itu, mangsa, N.Vijaya, 52, berkata ketika kejadian dia bersama dua anak lelakinya masing-masing berumur sembilan dan 28 tahun sedang berehat di ruang tamu, sebelum terhidu bau asap yang kuat.

“Saya segera keluar dan terlihat kepulan asap tebal serta api sudah marak. Saya terus mengejutkan kedua-dua anak lelaki untuk bangun sebelum menjerit meminta bantuan.

“Kesemua barangan rumah hangus dan tidak sempat diselamatkan namun saya bersyukur menjumpai semula beg yang berisi dokumen penting, ketika meninjau keadaan dalam rumah,” katanya.

J. Viruththeesaran, 20, yang berada di rumah seorang diri ketika kejadian pula berkata dia tersedar daripada tidur sebaik terhidu bau asap dan segera menyelamatkan diri.

“Dalam kejadian itu, seekor anjing dan enam kucing peliharaan saya tidak sempat diselamatkan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu