Kuala Lumpur Post

Social

5 termasuk suami isteri didakwa culik pengarah syarikat

KAJANG — Lima individu termasuk pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan menculik seorang pengarah syarikat logistik dan pembinaan bagi mendapatkan wang tebusan.

Mereka terdiri Ang Zi Teng, 24, Wong Chun Weng, 25, Ong Gim Yau, 28, dan suami isteri Wong Chin Sean, 32, dan Goh Chia Ying, 33.

Semua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan menawan atau mengambil daripada kawalan atau jagaan orang lain dengan niat memperoleh wang tebusan atau sebarang nilai atau imbuhan lain sebagai syarat pembebasan atau kembalinya ke atas mangsa berusia 37 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah premis di Dataran Jade di sini pada 12.30 tengah malam, 17 Feb lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan boleh dihukum bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala semua tertuduh diwakili peguam K Mahendren, Eryanie Abdul Rahim dan P Prakasam.

Mahkamah menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan kes.