Social
130

51 terlibat sindiket judi bola sepak diberkas

Johor Bahru – Seramai 51 individu diberkas selepas dipercayai terlibat dalam sindiket pertaruhan judi kejohanan UEFA EURO 2020 berjumlah RM19.44 juta menerusi 40 serbuan di sekitar negeri ini pada 10 hingga 26 Jun lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua individu berumur 18 hingga 54 tahun termasuk dua wanita itu, ditahan menerusi Op Soga hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor serta aduan dan maklumat daripada orang awam, lapor Bernama.

Beliau berkata kesemua individu warga tempatan yang ditahan merupakan ejen atau ‘bookie’ sindiket pertaruhan dalam talian dengan menggunakan 20 laman web pertaruhan judi yang beroperasi di luar negara.

“Serbuan yang dilakukan adalah di kawasan perumahan dan bukan di premis kerana sebelum pandemik COVID-19 mereka dipercayai ada pusat pertaruhan sendiri.

“Kita percaya ada lagi saki-baki ahli sindiket yang bebas kerana kejohanan tersebut berlangsung hingga 12 Julai ini dan nilai taruhan adalah lebih tinggi. Operasi (Op Soga) juga akan dijalankan berterusan,” katanya dalam sidang media di IPK Johor sini hari ini.

Ayob Khan berkata, antara yang dirampas menerusi serbuan tersebut ialah wang tunai berjumlah RM35,112, sebanyak 71 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 67 keping kad sim, 15 helai kertas catatan rekod pertaruhan, dua jadual perlawanan UEFA EURO dan empat komputer riba.

Katanya, kesemua individu terbabit ditahan reman antara dua hingga empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(3), Seksyen 6(1) dan Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953.

Beliau pada masa sama menyeru kepada orang ramai sekiranya mempunyai maklumat mengenai kegiatan pertaruhan judi seumpama itu untuk menyalurkannya menerusi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-2212999 atau 07-2254677.

 

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu