Social
260
0

52 suspek kes tembak PGA direman bawah SOSMA

Kangar – Seramai 52 suspek yang ditahan sebelum ini berhubung siasatan kes tembak sehingga mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand, direman 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata 22 suspek yang tamat tempoh reman disambung lagi hari ini manakala 30 orang akan direman esok di bawah akta SOSMA untuk siasatan lanjut.

“Seorang suspek pula dibebaskan dan akan menjadi saksi pendakwaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua 52 suspek berumur 20 hingga 65 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah terancang.

Mengenai tiga suspek warga Thailand yang ditahan di negara itu, Surina berkata pihaknya masih menunggu maklum balas daripada kerajaan Thailand supaya membenarkan polis membawa masuk suspek utama kes itu ke negara ini.

Beliau berkata terdapat beberapa lagi tangkapan akan dibuat bagi memastikan semua suspek terlibat dibawa ke muka pengadilan.

Pada 24 Nov, seorang anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala rakannya Sarjan Norihan a/l Tari, 39, cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu