Social
121

5,478 kedai diperiksa, 6 kompaun dikeluarkan

Kuala Terengganu – Sebanyak enam kompaun bernilai RM26,000 dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu membabitkan kesalahan pelanggan yang tidak memakai pelitup muka ketika berada di kedai makan.

Pengarahnya Dr Nor Azimi Yunus berkata, sebanyak 5,478 kedai di seluruh negeri diperiksa dalam satu operasi khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 13 Mac hingga semalam.

“Lima daripada enam kompaun itu telah pun dijelaskan dengan nilai kutipan sebanyak RM4,015. Ingin saya tegaskan di sini bahawa tujuan operasi ini dilakukan adalah untuk memastikan rakyat Terengganu sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19.

“Kompaun yang dikeluarkan bukan untuk membebankan rakyat, namun kita mahu rakyat mematuhi SOP dengan kesedaran sendiri kerana risiko peningkatan kes Covid-19 tetap ada meskipun, Terengganu hanya merekodkan satu digit jangkitan setiap hari sejak dua minggu kebelakangan ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tahap pematuhan SOP di beberapa kedai makan sekitar Kuala Terengganu hari ini.

Selain pematuhan SOP, Dr Nor Azimi berkata, pasukan penguat kuasa juga membuat pemantauan serentak aspek kebersihan kedai makan serta pematuhan larangan merokok yang sudah lama dikuatkuasakan sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau turut merayu agar rakyat Terengganu segera membuat pendaftaran sebagai penerima vaksin Covid-19 kerana jumlahnya masih rendah iaitu sekitar 27 peratus sahaja daripada jumlah penduduk sedangkan banyak kempen dan kemudahan pendaftaran telah dilakukan selama ini.

“Orang ramai juga boleh mendaftarkan ibu bapa mereka atau tanggungan lain sebagai penerima vaksin melalui satu ‘option’ yang ada di aplikasi MySejahtera bertujuan memudahkan golongan tidak mempunyai telefon pintar tidak ketinggalan mendaftar.

“Selain MySejahtera, orang ramai juga boleh membuat pendaftaran di klinik-klinik kesihatan serta melalui kaunter-kaunter yang disediakan oleh kerajaan negeri di lokasi tumpuan ramai setakat ini,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu