Social
217

550 ahli kongsi gelap sudah dicekup

Shah Alam – Polis Selangor sudah memberkas seramai 550 individu yang didapati menyertai kumpulan kongsi gelap di seluruh negeri ini.

Berdasarkan statistik bermula 2019 hingga bulan lalu itu, mereka terdiri daripada 12 kumpulan yang aktif antaranya Geng 21, Geng 08, Geng 24, Geng 36 dan Ang Soon Thong.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, semua suspek yang ditahan pihaknya menerusi Ops Cantas Khas berusia 20 hingga 40-an.

“Daripada jumlah itu, seramai 191 individu turut  dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959.

“Kesalahan itu antaranya membabitkan jenayah kekerasan, kongsi gelap, jenayah harta benda, perjudian, maksiat dan penyeludupan migran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 175 kes jenayah gengsterisme direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.

Tambah Arjunaidi, perkara itu menunjukkan bahawa pihaknya amat memandang serius dan memerangi sebarang aktiviti kongsi gelap.

“Keadaan ketika ini masih terkawal kerana tindakan penguatkuasaan sentiasa dilakukan oleh polis.

“Namun, kita amat mengalukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti jenayah termasuk kongsi gelap,” katanya.

Dalam perkara berasingan, mengulas dakwaan kewujudan Geng Lanun Merah Black Maria 360 di Klang, beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kumpulan itu.

“Kita menjalankan siasatan mengenai kumpulan itu sejak 2019 namun aktiviti yang dijalankan mereka tidak boleh dibuktikan dan tiada sebarang keterangan berkaitan dengan jenayah.

“Namun, kita omembuka balik siasatan dan satu pasukan khas sudah ditubuhkan bagi melakukan siasatan terperinci berhubung kumpulan berkenaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kumpulan berkenaan dianggotai tidak kurang 500 ahli menjadikan kumpulan kongsi gelap itu antara kumpulan penjenayah terancang menguasai pelbagai kegiatan jenayah di kawasan Klang, Selangor.

Ekoran itu, JSJ menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kumpulan terbabit yang aktif sejak 2013 yang dikatakan turut didalangi seorang pegawai kanan polis wanita. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu