Social
87

6 anggota polis terbabit jenayah disiasat

Georgetown – Polis Pulau Pinang sedang menyiasat pembabitan enam anggota berpangkat rendah dalam kegiatan rasuah, pemerasan dan dadah sejak 1 Julai lalu.

Mereka yang disyaki terbabit adalah empat anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan dua dari IPD Seberang Perai Selatan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, enam anggota itu berpangkat Lans Koperal dan Koperal berusia lingkungan 30-an.

Katanya, tiga anggota itu terbabit dalam siasatan kes rasuah oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Manakala dua lagi anggota terbabit dalam pemerasan dan seorang lagi kes dadah.

“Kes ini berlaku dalam tempoh dua minggu iaitu bermula 1 Julai lalu dan kesemua mereka kini ditempatkan di bahagian pentadbiran yang tidak membabitkan urusan luar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, walaupun terdapat kes membabitkan SPRM, siasatan turut dilakukan Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Kontinjen Pulau Pinang bagi tindakan tatatertib.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang didapati terbabit dalam kegiatan rasuah, jenayah serta melanggar etika pasukan beruniform ini.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku anggota dan pegawai polis diminta menghubungi Polis Kontinjen Pulau Pinang,” katanya lagi, lapor BH Online.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu