Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Sports

6 ditahan pukul pemandu e-hailing hingga maut

Kuala Lumpur – Malang tidak berbau bagi seorang lelaki berusia 28 tahun yang diserang sekumpulan lelaki warga tempatan selepas berhibur bersama teman wanitanya, di sebuah pusat hiburan di Kepong pada 28 Dis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata seramai enam individu memukul mangsa yang merupakan pemandu e-hailing sehingga mengalami pendarahan di bahagian kepala, dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat ‘Blunt Force Trauma to The Head’ pada 30 Dis lalu, selepas dua hari mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Beliau berkata sebelum kejadian itu berlaku, telah terjadi isu salah faham membabitkan teman wanita mangsa bersama kesemua suspek yang terlibat.

“Menurut teman wanita mangsa yang merupakan saksi kejadian terbabit, dia bersama mangsa berada di dalam kereta di tempat letak kereta berkenaan, dan mereka melihat kesemua suspek dari dalam pusat hiburan menghampiri dan bertindak membuka pintu kereta milik mangsa.

“Kesemua suspek menarik keluar mangsa dari kenderaan dan memukul mangsa sehingga mangsa mengalami kecederaan yang parah, dan kesemua suspek bertindak melarikan diri dari tempat kejadian selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri,” katanya ketika sidang media di sini.

Beh berkata pihaknya bersama bahagian D9 ibu pejabat Polis Kuala Lumpur, berjaya menahan kesemua individu terbabit di dalam beberapa siri serbuan di lokasi yang berbeza.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati tiga daripada enam suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang melibatkan pelbagai kesalahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan kesemua suspek ditahan reman sehingga 13 Jan depan, lapor Bernama.

Tags: , ,