Social
505

6 dituduh rogol, amang seksual remaja perempuan 13 tahun

Kuala Kangsar – Enam lelaki termasuk dua remaja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, bulan lepas.

Muhammad Zul Haikal Rashidi, 19, Muhammad Safaran Nurhan Suhaimi, 19, Muhammad Fakrul Nakimi Hussein, 29, Muhammad Saifullah Md Senapi, 21, Razaimi Md Nor, 49 dan Noordin Mat Ramli, 59 , bagaimanapun masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Muhammad Zul Haikal didakwa atas dua pertuduhan merogol remaja perempuan itu di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Simpang Perak Air Panas, Pengkalan Hulu di sini antara 11.10 malam hingga 11.25 malam dan 4.45 petang pada 6 dan 7 Feb.

Muhammad Safaran Nurhan, Muhamad Fakhrul Nakimi dan Muhammad Saifullah dituduh merogol mangsa pada tempat sama antara 12.30 pagi hingga 5 petang pada 7 Feb.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Noordin didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa sama di tempat sama pada 11.10 malam 6 Feb.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Razaimi pula didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap mangsa sama di alamat sama antara 9 malam hingga 5 petang pada 6 dan 7 Feb.

Pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan serta Seksyen 15(a)(i) akta yang sama.

Mahkamah membenarkan Muhammad Zul Haikal dan Razaimi masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin manakala empat tertuduh lain dibenarkan ikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan kesemua tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Hakim Rohaida turut menetapkan menetapkan 19 April untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu