Kuala Lumpur Post

Social

6 lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia

MEKAH — Sebanyak enam lagi kematian jemaah haji Malaysia di Tanah Suci berlaku menjadikan jumlah 14 kematian setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.

Na’im berkata kesemua jemaah itu sempat melakukan ibadah wukuf dengan kebanyakannya meninggal dunia akibat sakit jantung, paru-paru berair dan jangkitan kuman pada darah.

Mereka ialah Bawi Solek, 75, dari Kampung Hilir Pusa, Sarawak; Raksan Matasil, 74, (Kota Kinabalu, Sabah); Madon Mohamed, 71, (Masai, Johor); Roba’ayah Yusoff, 71, (Beruas, Perak); Syed Abu Hassan Basri Syed Ahmad, 74, (Sauk, Perak); dan Nik Noor Azlinna Noor Basir, 54, berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

“Pihak hospital Arab Saudi dan petugas TH (Lembaga Tabung Haji) telah membantu waris kepada Allahyarham yang meninggal ini dan waris mereka yang berada di tanah air juga telah dimaklumkan.

“Saya bagi pihak pengurusan TH ingin ucapkan takziah kepada waris yang telah meninggal di Makkah ini dan bersama-samalah kita mendoakan agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan mereka yang beramal soleh,” katanya dalam sidang media penutup musim haji 1445H/2024 di Ibu Pejabat TH di sini malam tadi.

Pada masa sama, setakat ini seramai 93 jemaah haji Malaysia sedang menerima rawatan dengan 11 daripada mereka ditempatkan di Hospital Arab Saudi termasuk dua dalam keadaan kritikal di Hospital King Abdulaziz, manakala 82 lagi di Pusat Rawatan TH Mekah.

Beliau berkata kebanyakan kes melibatkan masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman paru-paru disebabkan cuaca panas dan kering.

Sementara itu, Na’im menyifatkan operasi haji tahun ini sebagai antara yang paling cemerlang dan mengucapkan tahniah kepada pengurusan TH serta petugas yang berjaya memainkan peranan untuk memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan jemaah haji Malaysia terjamin.

“Ucapan terima kasih juga kepada jemaah haji Malaysia yang terkenal dengan sifat disiplin dan ilmu pengetahuan sehingga menjadi bualan dan pujian oleh kerajaan Arab Saudi…terima kasih kerana sabar dan memberi kerjasama yang baik kepada petugas.

“Walaupun ada sedikit kekurangan tetapi secara umumnya perjalanan haji ini menjadi lebih berkat dengan pertolongan serta komitmen yang diberikan jemaah haji menyebabkan operasi haji kali ini berjalan lancar dan baik,” katanya.

Beliau tidak menafikan semasa di Mina, jemaah terpaksa berhadapan cuaca panas terik selain keadaan ruangan khemah yang agak terhad.

Selain itu, Na’im turut merakamkan penghargaan kepada petugas TH yang terlibat dalam Program Prihatin Tetamu Ar-Rahman (Peneman) bagi membantu 50 warga emas yang dikenal pasti memerlukan bantuan dan bimbingan khusus semasa tempoh kemuncak haji di Masyair tempoh hari.

“Saya terharu apabila ada jemaah yang terlibat dalam program Peneman ini mengakui anak mereka sendiri pun tidak melayan mereka seperti mana petugas haji lakukan. Jadi ia merupakan satu pengakuan ikhlas yang diberikan oleh jemaah.

“Saya boleh katakan petugas yang terlibat ini sebagai wira tidak didendang yang memainkan peranan sangat besar untuk memastikan apabila jemaah ini balik ke Malaysia, dia akan bercerita bukan sahaja pengurusan TH efisien tetapi juga terharu dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh petugas haji,” katanya.

Na’im turut memaklumkan bahawa satu pascanilai akan diadakan bagi mengenal pasti segala bentuk aduan yang diterima daripada jemaah haji Malaysia khususnya semasa di Masyair untuk penambahbaikan perancangan musim haji tahun depan.

“Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta pengurusan TH akan memaklumkan kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi tentang perkara-perkara yang dibangkitkan dan diharap perjalanan pengurusan haji pada tahun depan akan menjadi lebih baik,’ katanya