Nation
156

6 lokaliti di Terengganu, Kelantan ditamatkan PKPD

Kuala Lumpur – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di lima lokaliti di Hulu Besut,Terengganu dan satu di Machang, Kelantan ditamatkan esok mengikut jadual.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata lima lokaliti di Hulu Besut membabitkan Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh, Baru Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan Felcra Keruak.

Di Machang membabitkan Maahad Tahfiz Al-Quran Wa Qiraat (MTAQ), Pulai Chondong.

“Di Hulu Besut, KKM (Kementerian Kesihatan) memaklumkan trend kes telah menurun dan kluster adalah terkawal manakala kes terakhir telah direkodkan pada 20 April lepas ialah empat kes dan semua kes positif telah dirawat manakala semua kontak rapat telah tamat tempoh pemantauan 14 hari.

“Di MTAQ, KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster terkawal sementara kes terakhir pula direkodkan pada 30 April 2021 iaitu 16 kes,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKPD akan dilaksanakan di Taman Tanah Putih Baru, Kuantan, Pahang, berkuat kuasa 5 Mei sehingga 18 Mei susulan berlaku penularan kes di lokaliti tersebut.

“Sehingga 2 Mei lepas, KKM telah merekodkan 11 kes daripada keseluruhan 40 ujian saringan yang dilakukan ke atas penduduk di taman tersebut dan KKM juga mengesahkan berlaku penularan kes di lokaliti tersebut selain terdapat 29 sampel ujian saringan masih menunggu keputusan.

“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memastikan warga Taman Tanah Putih Baru yang berisiko dijangkiti COVID-19 kekal berada dalam kawasan dan tidak menjangkiti komuniti luar,” katanya.

Mengenai pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), beliau berkata seramai 519 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam dan daripada jumlah itu, 508 individu dikompaun manakala 11 individu direman.

Antara kesalahan yang dilakukan membabitkan kegagalan merekod butiran diri/daftar masuk premis (207 kes), tiada penjarakan fizikal (72 kes), aktiviti pusat hiburan (60 kes), tidak memakai pelitup muka (50 kes) dan lain-lain (130 kes). – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu