Social
343

6 remaja dikompaun langgar SOP rai hari lahir

Alor Gajah – Enam remaja termasuk dua gadis berusia antara 14 hingga 18 tahun dikompaun keseluruhan RM30,000 gara-gara merentas negeri dari Gemas, Negeri Sembilan ke Pulau Sebang di sini, untuk meraikan hari lahir seorang rakan mereka.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata kesemua remaja berkenaan ditahan ketika berkumpul di hadapan rumah penganjur yang merupakan rakan perempuan mereka di Taman Baiduri, Pulau Sebang kira-kira jam 5 petang semalam.

“Kesemua remaja berkenaan telah dibawa ke Balai Polis Pulau Sebang untuk tindakan lanjut kerana penganjuran majlis itu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Penganjur yang merupakan seorang gadis berusia 17 tahun pula sedang diambil keterangan dan boleh dikenakan kompaun maksimum RM4,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya siasatan awal mendapati mereka gagal mematuhi SOP Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Peraturan 4(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (PPN) 2021 kerana tidak mempunyai dokumen sokongan rentas negeri atau daerah.

Arshad berkata kes itu turut disiasat di bawah Peraturan PKP Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (PPN) 2021 kerana mengadakan majlis itu.

“Perbuatan suspek amat berbahaya kerana mereka hadir di lokasi semata-mata untuk berhibur memandangkan ada yang datang dari daerah dan negeri yang mencatatkan statistik kes COVID-19 yang tinggi.

“Tuan punya premis atau bangunan juga melakukan kesalahan di bawah akta ini kerana menerima tetamu,” katanya sambil menyeru orang ramai untuk mematuhi arahan kerajaan dengan kekal duduk di rumah bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, lapor Bernama.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu