Social
311
0

6 sekeluarga ditahan edar dadah

Kota Kinabalu – Enam sekeluarga ditahan polis selepas didapati mengedar dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sembulan, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 12.30 tengah hari itu, enam individu yang ditahan membabitkan pasangan suami isteri, dua anak lelaki dan seorang lagi anak perempuan serta suaminya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata semua suspek adalah warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 66 tahun.

Katanya, ketika ditahan polis berjaya menemui enam paket syabu seberat 67.80 gram yang disembunyikan di bawah pecahan jubin di rumah berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selain itu, dua yang lain didapati positif dadah manakala, selebihnya negatif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun dalam serbuan di kawasan flat perumahan Kampung Sembulan Tengah, di sini, jam 7.35 malam tadi.

Habibi berkata, hasil pemeriksaan di kereta Toyota Vios milik suspek menemui tiga paket syabu seberat 150.36 gram yang disembunyikan di dalam bonet belakang.

“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain negatif hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dalam dua serbuan berkenaan adalah seberat 218.16 gram yang dianggarkan bernilai RM21,816 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya.

Habibi berkata, semua suspek dalam kedua-dua serbuan itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dadah di sekitar ibu negeri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika sabit kesalahan,” katanya.

Habibi berkata, semua suspek kini ditahan reman bermula semalam bagi membantu siasatan lanjut. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu