Social
315

6 termasuk 3 penjawat awam ditahan SPRM

Johor Baharu – Enam individu termasuk tiga penjawat awam dari sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekitar Johor awal pagi semalam kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor melibatkan projek bernilai jutaan ringgit.

Menurut sumber, antara yang ditahan termasuk seorang jurutera daerah (lelaki) dan dua penolong jurutera (seorang lelaki dan seorang wanita) masing-masing berusia 38, 44 dan 31 tahun ditahan dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar negeri ini kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor di daerah yang dikawal selia mereka.

Selain itu, tiga orang kontraktor (semua lelaki) yang terlibat turut ditahan bagi membantu siasatan kerana didakwa merasuah ketiga-tiga penjawat awam tersebut bagi mendapatkan projek yang ditawarkan agensi berkenaan di sebuah daerah di Johor sejak tahun 2018.

“Kesemua kontraktor terbabit yang berusia lingkungan 31 hingga 44 tahun itu dipercayai mengawal 11 syarikat yang didaftarkan atas nama mereka dan juga proksi untuk membolot projek agensi pusat berkenaan yang ditawarkan di daerah tersebut.

“Dianggarkan projek-projek yang dimonopoli juga mencecah jutaan ringgit sejak tahun 2018 hingga 2021,” kata sumber berkenaan.

Selain itu, sumber turut menjelaskan pelbagai bentuk suapan rasuah telah diberikan kepada ketiga-tiga suspek termasuk pakej percutian, wang tunai dan barang berharga termasuk sebuah bot.

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan.

Sementara itu, Pengarah Perisikan SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Terdahulu, keenam-enam individu yang ditahan, tiba di Mahkamah Majistret di sini pada 8.30 pagi dengan baju lokap berwarna oren diiringi pegawai SPRM untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Lima individu direman tujuh hari bermula hari ini hingga 1 Ogos manakala seorang daripada penolong jurutera (wanita) direman selama lima hari bemula hari ini sehingga Jumaat.

Permohonan reman itu dibenarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru Faridatul Farrah Mohd Shukri.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu