Nation
293

63 anggota, pegawai polis positif Covid-19

Kuantan – Seramai 63 anggota termasuk pegawai polis daerah Kuantan disahkan positif Covid-19, manakala 39 anggota lagi kini menjalani proses kuarantin sejak 13 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, daripada itu, 12 orang menerima rawatan di hospital, 20 orang menjalani kuarantin di rumah dan 31 orang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di daerah ini.

Katanya, seorang pegawai kanan yang menghidap penyakit itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kes jangkitan ini dipercayai bermula pada 13 Julai lalu tetapi ketika itu hanya membabitkan beberapa anggota, sebelum ia merebak dan menjangkiti kakitangan lain.

“Semua anggota dan pegawai yang terbabit kini dikecualikan daripada senarai penugasan dan kita berharap mereka segera sembuh dan boleh bertugas semula,” katanya ketika ditemui meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) Jalan Tanjung Lumpur di sini, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar di Lokaliti Berisiko di Kuantan yang bermula malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohamad Noor berkata, pihaknya mendapat bantuan keanggotaan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang bagi menampung kekurangan itu.

“Kami berterima kasih kepada Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf yang prihatin atas bantuan ini dalam memastikan penugasan daerah ini berjalan dengan baik serta lancar.

“Saya menasihatkan kepada penduduk yang menetap di 13 lokaliti PKPD di daerah ini supaya mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan. Polis bersama tentera akan sentiasa memantau pergerakan penduduk,” katanya.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu