Kuala Lumpur Post

Nation

7 jalan sekitar Batu Caves ditutup bermula malam ini

GOMBAK — Tujuh jalan di sekitar kawasan Batu Caves, di sini, akan ditutup bermula 10 malam ini hingga 27 Januari bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang perayaan Thaipusam yang berlangsung pada 25 Januari nanti.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, penutupan jalan terbabit bagaimanapun bergantung kepada situasi semasa keadaan lalu lintas.

Katanya, berdasarkan jumlah pengunjung tahun lalu, dianggarkan antara 1.5 hingga dua juta pengunjung akan menghadiri perayaan Thaipusam di Batu Caves.

“Jalan yang ditutup sepanjang tempoh itu adalah simpang tiga Jalan Bunga Raya menghala ke Jalan Batu Caves, lampu isyarat Jalan Station (Batu Caves Bypass), susur dari arah bulatan Batu Caves dan Jalan Perusahaan menghala ke Kuil Batu Caves.

“Selain itu, susur dari arah Gombak menghala ke Kuil Batu Caves, simpang tiga Jalan SBC 8 dan simpang tiga lampu isyarat Sri Batu Caves menghala keluar ke MRR2,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Polis di Kuil Batu Caves, di sini, hari ini.

Hussein berkata, hebahan berkaitan penutupan jalan akan disiarkan melalui papan kenyataan elektronik dari arah bulatan Batu Caves menghala ke Gombak dan menerusi laman rasmi Facebook Polis daerah Gombak dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Laluan alternatif yang dicadangkan oleh pihak polis akan dikemas kini melalui platform media sosial yang dinyatakan dari semasa ke semasa.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif dan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Katanya, Kementerian Pengangkutan turut mengumumkan tambang percuma bagi perkhidmatan bas Rapid dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) komuter kepada pengunjung pada 24 dan 25 Januari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, seramai 1,600 pegawai dan anggota polis dari pelbagai jabatan di seluruh kontinjen Selangor akan bertugas dalam Op Palu 2024 di zon sekitar Batu Caves.

“Sebarang kegiatan ataupun aktiviti yang mengganggu lalu lintas dan perhimpunan yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan serta merta,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga barang berharga bagi mengelak kecurian dan mengawasi pergerakan anak-anak serta mematuhi arahan pihak polis.

Tags: , ,