Social
448

7 lelaki ditahan kes pergaduhan di pasar borong

Petaling Jaya – Polis mengesahkan tujuh individu sudah diberkas bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan melibatkan dua kumpulan yang tular di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua lelaki tersebut diberkas oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, semalam.

“Kesemua suspek warga tempatan itu diberkas sekitar pukul 5 petang di beberapa lokasi di sekitar Sentul.

“Setakat ini kita masih giat mengesan saki baki individu yang terlibat dalam pergaduhan itu. Jumlahnya belum dapat dipastikan kerana ia masih dalam siasatan,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Jelas beliau, kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam dan juga Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit(Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Terdahulu, tiga buah rakaman video tular di laman sosial memaparkan insiden pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki berbaju hijau dan kuning di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini kelmarin.

Polis telah membuka kertas siasatan berhubung insiden itu yang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara dua pihak berkenaan isu menolak bakul sayur. — Kosmo Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu