Nation
51

7 lokaliti di tiga negeri dikenakan PKPD

Kuala Lumpur – Tujuh lokaliti dengan lima daripadanya di Sabah dan masing-masing satu di Pahang dan Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 16 hingga 29 Sept ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad dalam kenyataan hari ini berkata lokaliti di Sabah itu melibatkan kawasan Kota Marudu, Keningau, Ranau dan Telupid.

“Di Kota Marudu dua lokaliti yang terlibat ialah Kampung Kirangawan Darat dan Tengah serta Kampung Pinatau. Tiga lokaliti lain ialah Kampung Nuntunan Apin-Apin di Keningau, Kampung Lungkidau di Ranau dan Perumahan Pekerja Ladang Bousted Ruku-Ruku di Telupid,” katanya.

Rodzi berkata turut dikenakan PKPD ialah Kampung Tementong, Mukim Cheka Satu di Lipis, Pahang dan Kampung Bahagia, Mukim Batu Mengkebang di Kuala Krai, Kelantan.

Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) di kesemua kawasan dikenakan PKPD adalah sama seperti diumumkan sebelum ini.

Katanya PKPD di dua lokaliti dalam mukim Bebar di Pekan, Pahang iaitu Kampung Badong Dalam dan Kampung Permatang Durian yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan mulai Khamis ini hingga 29 Sept.

Menurut Rodzi, enam lokaliti di Tawau, Ranau dan Kota Belud di Sabah ditamatkan PKPD berkuat kuasa Rabu ini.

Lokaliti ditamatkan PKPD ialah Taman Ria Height di Tawau dan dua lokaliti di Ranau iaitu Kampung Narawang dan Kampung Mininsalu Baru (Pasir Putih).

Penamatan PKPD di ketiga-tiga kawasan ini adalah seperti yang dijadualkan, katanya.

Beliau berkata tiga lagi lokaliti yang ditamatkan PKPD kesemuanya di Kota Belud adalah Kampung Labuan, Kampung Ambong Tolus dan Kampung Rampayan Laut.

Penamatan PKPD di ketiga-tiga kawasan tersebut yang berkuat kuasa esok adalah lebih awal daripada tarikh dijadualkan pada 18 Sept, katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu