Social
386

7 pelajar maut terjatuh dari bangunan universiti

Bolivia – Sekurang- kurangnya tujuh pelajar maut dan tiga lagi cedera dalam insiden penghadang besi bangunan tercabut di Universiti Awam El Alto berhampiran La Paz, kelmarin.

Rakaman video yang sempat dirakam oleh salah seorang saksi kejadian menunjukkan sekumpulan besar pelajar terhuyung-hayang di atas balkoni yang sesak sebelum rel besi penghadangnya tercabut dan menyebabkan sebilangan pelajar terjunam dari ketinggian 17 meter.

Seorang gadis daripada kumpulan pelajar itu dilihat seolah-olah sengaja menolak rakan-rakannya dari atas balkoni dan akan dipanggil untuk siasatan lanjut.

Komander Jeneral Polis Bolivia, Jhonny Aguilera Montecinos memberitahu, seorang wanita muda yang dirakam menolak beberapa rakannya dari atas balkoni akan dipanggil untuk disoal siasat, demikian menurut laporan media.

“Tiga warden akan dipanggil untuk memberikan kenyataan serta bekerjasama dalam menentukan sebab utama mendorong pengumpulan pelajar universiti secara besar-besaran di sebuah lokasi sempit,” katanya.

Kemalangan itu berlaku di bangunan sains kewangan universiti, di mana para pelajar dikumpulkan untuk menghadiri sebuah perhimpunan.

Setakat ini, tiada penjelasan lanjut tentang mengapa pelajar dibenarkan berkumpul di luar kelas semasa penularan wabak Covid-19.

“Universiti mengisytiharkan tempoh berkabung selama tujuh hari di Universiti Awam El Alto kerana peristiwa malang yang berlaku pada pagi 2 Mac,” tulis satu kenyataan dari universiti.

Presiden Bolivia, Luis Arce menyampaikan ucapan takziah kepada semua yang terkorban dalam insiden tersebut.

“Saya berasa kesal atas tragedi yang berlaku di Universiti Awam #ElAlto (UPEA), di mana terdapat beberapa kematian dan cedera.

“Salam takziah daripada saya kepada penduduk El Alto dan keluarga yang terkesan akibat kemalangan ini. Pihak kerajaan sedang menunggu penjelasan segera mengenai fakta kes,” ujarnya. – Agensi

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu