Social
167

7 termasuk wanita ditahan hadir majlis hari jadi

Shah Alam – Polis menahan tujuh warga tempatan termasuk seorang wanita atas kesalahan menghadiri majlis sambutan hari jadi di sebuah kondominium mewah di Seksyen 7, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata penahanan individu berusia 21 hingga 37 tahun itu dilakukan selepas pihaknya melakukan pemeriksaan di kondominium tersebut susulan aduan orang awam berhubung aktiviti berkumpul.

“Pihak polis telah menjalankan siasatan dan pemeriksaan pematuhan secara menyeluruh di alamat tersebut lalu mendapati ada majlis hari jadi sedang berlangsung dan menahan tujuh individu yang berada di kondominum itu.

“Kami juga merampas lima paket dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 4.42 gram, dan satu paket dadah mengandungi tujuh biji pil yaba dengan berat kasar 0.72 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baharudin berkata sebanyak tujuh kompaun dikeluarkan kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan menghadiri aktiviti dengan kehadiran ramai sehingga menyukarkan penjarakan fizikal.

Katanya, kesemua individu terbabit dikompaun RM4,000 setiap seorang dan kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi menjalani ujian saringan air kencing.

“Hasil saringan mendapati lima individu termasuk wanita berkenaan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.

“Kesemua suspek direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. — Bernama

Tags: , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu