Social
118

77 individu beri keterangan berhubung isu program ‘All Together Now Malaysia’

Putrajaya – Seramai 77 individu termasuk juri selebriti dan peserta program hiburan televisyen ‘All Together Now Malaysia’ (ATNM) telah memberi keterangan kepada polis berhubung isu ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Putrajaya A. Asmadi Abdul Aziz berkata seramai 50 juri, 25 peserta dan dua pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya sejak 8 Jun lepas untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes itu.

Beliau berkata keterangan pegawai KKM terbabit adalah untuk membantu siasatan jika wujud kesalahan berdasarkan bukti yang ada.

“Siasatan masih lagi dijalankan,” katanya kepada media menerusi aplikasi WhatsApp hari ini mengenai perkembangan kes itu.

Program pencarian bakat terbitan Astro Production itu disiarkan pada 6 Jun dan mengundang pelbagai reaksi selepas juri terbabit dirakam tanpa memakai pelitup muka.

Pada 11 Jun lepas, Ketua Polis Daerah Putrajaya ketika itu ACP Mohd Fadzil Ali memaklumkan bahawa semua pihak yang terlibat dalam program ATNM akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Mohd Fadzil berkata siasatan dijalankan mengikut Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Pemulihan) kerana tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya. — Bernama

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu