KUALA LUMPUR — Lapan cap jari ditemukan di lokasi kejadian pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC Faisal Halim disimbah asid, namun hasil analisis mendapati lima daripadanya tidak cukup sifat.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata baki tiga cap jari lagi tidak mempunyai padanan dalam pangkalan data Polis Diraja Malaysia (PDRM), berkemungkinan individu berkenaan tidak pernah ditahan dan tidak memiliki rekod kesalahan lampau.
“Polis telah mengedarkan fotofit atau lakaran wajah individu disyaki suspek kejadian berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali individu seperti lakaran itu diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi.
Pada 9 Mei lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata polis sedang menganalisis cap jari yang ditemukan di lokasi kejadian pemain negara itu disimbah asid.
Shuhaily berkata, hasil semakan kamera litar tertutup di lokasi kejadian mendapati suspek ada menyentuh beberapa kawasan dan meninggalkan cap jari.
Pada 5 Mei, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya, yang membataskan pergerakan dan percakapannya.
Pemain yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari itu, dijangka tidak dapat beraksi selama lima atau enam bulan, sekali gus terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, bulan depan.