Kuala Lumpur Post

Social

8 individu termasuk 3 wanita ditahan kes samun, ragut

KUALA LUMPUR —   Lapan individu termasuk tiga wanita ditahan dalam Ops Rentap Trio kerana disyaki terlibat kes samun, ragut dan curi motosikal di sekitar Lembah Klang, Melaka serta Negeri Sembilan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Habibi Majinji berkata dua lelaki dan seorang wanita ditahan di Teluk Kemang, Port Dickson pada 28 Mac lalu, sebelum lima lagi termasuk dua wanita diberkas di ibu kota Isnin lalu hasil soal siasat.

Katanya geng yang aktif sejak awal tahun ini terbabit 40 kes samun dan ragut serta lima kes mencuri motosikal dengan menyasarkan mangsa di kawasan tumpuan pelancong seperti sekitar Suria KLCC pada hujung minggu.

“Suspek yang bersenjatakan pisau turut mencederakan mangsa. Hasil samun dan ragut pula dijual kepada kenalan kumpulan tersebut,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati lima suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Menurutnya jaminan diberikan kepada seorang wanita, manakala suspek lain masih direman untuk siasatan mengikut Seksyen 379 A dan 392 Kanun Keseksaan.

Katanya mereka dijangka dituduh di mahkamah esok membabitkan 18 kes jenayah di Kuala Lumpur.