Social
114

8 kontena terbakar, kapal berpatah balik

Pelabuhan Klang – Kapal kontena terpaksa berpatah balik ke pelabuhan berikutan lapan kontena yang dibawanya terbakar.

Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) dalam satu kenyataan hari ini berkata, MV Interasia Catalyst sepanjang 260 meter itu berlepas dari pelabuhan pada 1 pagi 4 April lalu untuk Cochin, India.

Bagaimanapun, menurutnya, pada 5 April ejen kapal terbabit memaklumkan terdapat asap keluar dari kontena di dek kapal dan kapten kapal meminta untuk berpatah balik ke pelabuhan.

“Kapal itu tiba di Pelabuhan Klang pada 7 pagi Rabu dan diarahkan berlabuh di Pintu Gedong, jauh daripada kapal-kapal lain.

“Kapal itu kemudiannya diperiksa sebelum pihak pelabuhan dipanggil untuk memberi bantuan bagi menangani kebakaran terbabit.

“Tiga pasukan terdiri daripada 17 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Bomba Northport dan Westports dikerahkan ke kapal itu dengan dua kapal pemadam kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LPK berkata, langkah memadamkan kebakaran dimulakan segera pada hari terbabit dengan dengan pemantauan rapat kapten kapal.

“Kawasan kebakaran membabitkan sekitar lapan kontena di dek, dengan ketinggian empat kontena.

“Anggota bomba berjaya membuka pintu beberapa kontena untuk mengatasi kebakaran di dalamnya, sementara kerja penyejukan sempadan dilaksanakan berterusan di kawasan kontena berhampiran.

“Oleh kerana kebakaran itu terbatas di kawasan dek yang mempunyai 35 kontena, empat kapal pemadam kebakaran digunakan bersama 24 anggota dan kapal terbabit tidak berada dalam keadaan bahaya,” katanya.

Menurut LPK, pihaknya berhubung secara rapat dengan pemilik, syarikat perkapalan Interasia dalam usaha memastikan situasi diselesaikan dengan segera.

“Pemilik kapal juga menggunakan kren terapung dan kapal penyelamat akan hadir membantu esok,” katanya. – Harian Metro

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu