Social
276

8 lelaki ditahan bergaduh di restoran

Kuala Lumpur – Lapan lelaki ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan kes pergaduhan di sebuah restoran di Rawang dalam kejadian awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata empat daripada suspek berusia dalam lingkungan 23 hingga 29 tahun itu ditahan ketika hadir di Balai Polis Gombak untuk memberi keterangan manakala empat lagi hadir serah diri di balai yang sama.

“Kami sedang memburu beberapa lagi individu bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, mangsa yang berusia 29 sedang minum di sebuah restoran di Rawang bersama rakan-rakannya dan telah berlaku perselisihan faham dengan sekumpulan lelaki lain akibat ejek-mengejek.

Keadaan semakin kecoh apabila kumpulan berkenaan bertindak membaling botol ke meja pengadu dan perkara yang sama turut dilakukan oleh pengadu dan rakan-rakannya sebelum berlaku pergelutan di antara mereka.

Pengadu mengalami cedera ringan di tangan dan dada dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Arifai turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi balai berdekatan.

Dua video berdurasi 47 saat dan 17 saat memaparkan pergaduhan antara beberapa individu lelaki di luar sebuah restoran di Rawang.

Dalam kejadian berasingan, polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Damai Perdana, Kajang, yang berlaku 9 April lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang Mohd Zaid Hassan berkata individu berkenaan dikenali sebagai Yuen Wai Lam, 26 yang beralamat di No 3, Jalan Penghulu 12/3, Bandar Mahkota Cheras.

Sebelum ini, Mohd Zaid berkata polis telah menahan empat lelaki berusia 19 hingga 28 tahun dan telah direman bagi membantu siasatan kes yang dilakukan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh. – Bernama

 

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu