Social
59

8 pekerja warga asing ditahan, stor seleweng minyak subsidi diserbu

Melaka – Tujuh pekerja warga Myanmar dan seorang warga Thailand ditahan dipercayai terlibat dalam kes penyelewengan minyak masak bersubsidi membabitkan nilai rampasan sebanyak RM87,300 susulan serbuan ke atas sebuah stor di Bandar Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya Azman Adam berkata kesemua mereka yang berumur antara 18 dan 45 tahun itu, ditahan ketika berada di premis dua tingkat yang dijadikan stor pada serbuan kira-kira 11.30 pagi.

“Stor tersebut dikenal pasti sebagai tempat melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi paket 1 kilogram (kg) yang dipindahkan ke dalam bekas minyak masak industri bukan bersubsidi.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis itu kita menemukan 36 unit tangki fiber berkapasiti 1,000 liter dan berisi minyak masak kira-kira 31,500 kg bersama peralatan bagi memindahkan minyak masak itu,” katanya pada sidang media di Pejabat Stor Ekshibit KPDNHEP Melaka di Krubong, di sini malam ini.

Beliau berkata hasil maklumat risikan penguat kuasa KPDNHEP mendapati sindiket terbabit telah beroperasi hampir dua bulan dengan mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi paket 1kg daripada beberapa pemborong berlesen di sekitar Lembah Klang.

Azman berkata minyak masak bersubsidi paket 1kg itu kemudiannya dileraikan dan dikumpulkan di dalam tangki fiber berkapasiti 1,000 liter untuk dipasarkan pada harga bukan subsidi.

“Kami juga akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pihak-pihak lain yang terlibat dalam rantaian pengedaran minyak masak ini termasuk sumber bekalan minyak masak tersebut diperoleh berdasarkan jenama minyak masak yang ditemukan di tempat kejadian.

“Lapan suspek itu ditahan reman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 di bawah peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Tambahnya kes itu juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUAA) 2001 bagi memberi kesan kepada mana-mana penjenayah dan sindiket penyelewengan yang lain, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu