BACHOK — Lapan remaja ditahan selepas disyaki merogol seorang pelajar Tingkatan Dua secara berkumpulan di Tawang, di sini.
Suspek berusia antara 14 hingga 18 tahun itu ditahan polis pada hari Ahad.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohd Ismail Jamaluddin berkata, penahanan kesemua suspek dibuat selepas laporan berkait kes rogol membabitkan mangsa berusia 14 tahun 11 bulan.
“Bertindak atas maklumat itu, pihak polis telah menangkap kesemua suspek terbabit.
“Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan (KK).
“Polis sedang jalankan siasatan lanjut berhubung kejadian,” katanya.
Permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Bachok pada hari ini.