Social
223

8 termasuk 4 wanita ditahan berpesta dadah

Butterworth – Empat lelaki tempatan bersama empat wanita warga Vietnam yang sedang leka berhibur dan berpesta dadah ditahan polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Lestari, di sini, semalam.

Semua mereka yang merupakan pasangan kekasih itu ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dalam serbuan jam 6 petang hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Ra’ais berkata kesemua suspek berusia antara 25 hingga 40 tahun sedang berhibur dengan bunyi alunan muzik kuat serta meminum jus campuran dadah.

“Siasatan awal mendapati kediaman itu disewa oleh salah seorang suspek lelaki sejak setahun yang lepas dan semasa serbuan, kesemua mereka datang ke situ bersama pasangan untuk berhibur dan menghisap dadah.

“Pemeriksaan turut dijalankan oleh pihak Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan telah menemukan pelbagai jenis dadah yang dipercayai untuk kegunaan mereka antaranya pil eramin 5, pil ekstasi, jus campuran dadah serta syabu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rahimi berkata polis tidak menolak kemungkinan mereka menjadikan kediaman sewa itu sebagai lokasi berhibur ekoran pusat hiburan tidak beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Ujian air kencing mendapati empat lelaki bersama tiga wanita itu positif dadah dan semua mereka direman bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, di George Town, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata polis menahan tiga wanita termasuk dua warga asing bersama dua lelaki tempatan kerana terbabit dengan aktiviti pelacuran di sebuah hotel bajet di Kampung Deli, semalam

Katanya dalam serbuan jam 12.40 tengah hari itu, dua lelaki yang ditahan berkenaan merupakan pelanggan manakala tiga lagi wanita adalah pelacur di situ yang mana kesemua mereka berusia 20 hingga 30-an.

“Pemeriksaan mendapati dua wanita warga asing itu tidak mempunyai dokumen perjalanan diri dan semua lima individu tersebut kini reman untuk siasatan lanjut. Kes disiasat menurut Seksyen 372A dan 372B Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu