Social
340

9 ditahan sambut hari jadi ketika PKP

Johor Bahru – Kedegilan sembilan individu yang melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyambut hari jadi mengundang padah apabila mereka ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Stulang, di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 11.59 malam itu, individu yang diberkas terdiri daripada lima lelaki tempatan dan empat wanita warga asing yang berusia antara 30 hingga 46 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Lim Jit Huey berkata, kesemua mereka ditahan kerana melakukan kesalahan berkumpul dan menjalankan aktiviti yang tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Lima lelaki tersebut dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 masing-masing manakala empat wanita warga asing ditahan reman kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

“Polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan dalam majlis berkenaan antaranya dua buah pembesar suara, dua lampu berwarna warni, serangkai kunci dan satu kad akses,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jit Huey berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 17 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Ujarnya, jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam sebatan.

Sehubungan itu, polis IPD Johor Bahru Selatan menegaskan pihaknya komited dalam menjalankan operasi bagi membanteras sebarang kegiatan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang tempoh PKP. — Kosmo Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu