Social
206

9 individu terlibat sindiket penipuan dalam talian ditahan

Alor Setar – Polis menahan lapan lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat dengan kegiatan penipuan dalam talian, selepas membuat empat serbuan di Kedah dan Pulau Pinang, Khamis lepas.

Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad berkata suspek berusia antara 19 dan 51 tahun yang menjadi anggota dua kumpulan itu ditahan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

“Kesemua suspek ditahan dalam serbuan pada pukul 1.15 petang dan siasatan awal mendapati mereka terlibat dengan kegiatan ini sejak kira-kira setahun lepas, dengan menyamar sebagai pegawai agensi kerajaan, termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata semua mereka direman sehingga Selasa ini, dan polis sedang berusaha mengesan dua dua lelaki berumur 38 dan 41 tahun yang dipercayai turut terlibat dalam kes berkenaan.

Sementara itu Wan Hassan berkata 1,881 kes jenayah komersial dicatatkan sepanjang tahun lepas, berbanding 1,125 kes pada tahun sebelumnya, dengan 90 peratus daripadanya adalah berkaitan penipuan belian dalam talian, Macau Scam, pinjaman wang tidak wujud, pelaburan tidak wujud dan Love Scam.

“Jumlah kerugian pada tahun 2021 mencatatkan peningkatan iaitu kepada lebih RM28 juta berbanding RM17 juta pada 2020,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu