Social
272

90 individu dikompaun langgar SOP

Kuala Lumpur – Polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM470,000 kepada 90 individu termasuk pemilik pusat hiburan awal pagi tadi, kerana disyaki melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Seramai 51 lelaki dan 39 wanita dikenakan kompaun itu dalam serbuan disertai 35 pegawai polis di sebuah pusat hiburan, dekat Jalan Kia Peng, di sini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob, berkata turut dirampas 500 botol minuman keras bernilai RM400,000 bagi membantu siasatan.

“Anggaran kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis (kesalahan berulang) dan kesemua pengunjung pusat hiburan itu sebanyak RM470,000.

“Sebanyak 500 botol minuman keras turut dirampas bernilai RM400,000. Keseluruhan kompaun bersama rampasan minuman keras berjumlah RM870,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31, Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Peraturan 18 PU (A) 97/2021 – iaitu menjalankan aktiviti terlarang), selain Akta Kastam 1976 serta Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

Azman berkata, operasi mengesan pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB di pusat hiburan sekitar ibu negara akan dilakukan dengan tegas dari semasa ke semasa.

“PKP di Kuala Lumpur akan bermula esok. Kita akan memastikan pematuhan orang awam terhadap SOP ditetapkan berada pada tahap tinggi,” katanya.

Semalam, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula esok sehingga 20 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dipetik berkata keputusan itu dilaksanakan selepas meneliti pembentangan daripada Kementerian Kesihatan susulan terdapat 17 kluster baharu direkodkan di ibu kota dengan kes harian semakin meningkat. – BH Online

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu