Politics
499

95 ahli Bersatu sertai UMNO

Melaka – Seramai 95 ahli Bersatu Bahagian Tangga Batu mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Umno, semalam.

Kumpulan ahli Bersatu dari Cawangan Bertam Hulu itu mengumumkan perkara berkenaan pada satu majlis ringkas di Klebang, di sini.

Permohonan borang keahlian Umno itu diserahkan Pengerusi Tetap Bersatu cawangan berkenaan yang juga Sidang Kampung Bertam Hulu, Rosjihan Abdul Rahman, 62, kepada Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Hadir sama, Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Isham Jalil.

Rosjihan yang juga Timbalan Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Perikatan Nasional (PN) Bertam Hulu berkata, tindakan keluar parti itu tiada sebarang paksaan, sebaliknya atas rasa perjuangan untuk membela bangsa dan agama, khususnya di Sungai Udang.

Beliau berkata, pada masa sama, sikap mementingkan diri dalam kalangan pemimpin cawangan menyebabkan sebahagian besar ahli cawangan itu rasa terpinggir serta dihina.

“Kami seperti ‘pencacai’ dan tangga untuk dia (pemimpin cawangan) menonjolkan diri serta mendapatkan jawatan. Kami kecewa dan rasa dihina.

“Kami seperti tidak dihargai dan sebab itu kami meninggalkan parti demi kepentingan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Ali yang juga calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Udang melahirkan rasa syukur kerana kumpulan berkenaan sudah kembali ke pangkal jalan.

“Saya dengan rasa syukur dan gembira mengumumkan permohonan mereka diterima di peringkat bahagian dan akan diangkat ke Majlis Tertinggi Umno untuk diluluskan,” katanya, lapor Harian Metro.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu