Nation
198

Ada kesilapan besar dalam dokumen perjanjian awal projek terowong Pulau Pinang : Saksi

Kuala Lumpur – Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa terdapat kesilapan besar dalam kandungan dokumen Perjanjian Awalan Bagi Projek Penswastaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Bekas Penasihat Undang-Undang Pulau Pinang Datuk Faiza Zulkifli, 61, berkata kesilapan itu membabitkan lot tanah yang menjadi perkara utama, yang dinyatakan dalam dokumen tersebut.

“Saya boleh katakan ini adalah kesilapan besar kerana terdapat beberapa kesilapan dari segi ‘typo’ dan dari segi pernyataan mengenai lot tanah,” katanya ketika merujuk kepada dokumen Perjanjian Awalan Bagi Penswastaan Projek Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang di Antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG), pada 29 Okt 2013.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi itu berkata kesilapan tersebut membabitkan tanah kerajaan negeri yang akan dipindah milik kepada pemaju, dikenal pasti secara salah dalam dokumen tersebut.

Saksi pendakwaan ke-11 itu berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Wan Shaharuddin: Jika diberikan peluang untuk meneliti balik perjanjian tersebut, adakah Datuk Faiza akan mengesan kesilapan itu?

Faiza: Saya amat teliti dalam kerja saya sebagaimana pegawai-pegawai kerajaan Pulau Pinang mengetahuinya, dan saya pastikan perkara ini tidak akan berlaku demi memastikan kepentingan kerajaan negeri dijaga.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan itu berkata adalah tidak wajar untuknya memberikan komen berhubung kandungan perjanjian tersebut, kerana beliau tidak terbabit dalam meneliti dan menyemak dokumen itu.

“Tiada arahan daripada mana-mana pihak sama daripada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, supaya dokumen tersebut dihantar untuk disemak oleh bekas Penasihat Undang-Undang negeri itu,” katanya.

Sementara itu, Faiza ketika membacakan pernyataan saksinya berkata sepanjang bertugas sebagai Penasihat Undang-Undang negeri itu, pihaknya tidak pernah menerima apa-apa draf perjanjian untuk disemak.

Saksi itu berkata beliau tidak meneliti draf perjanjian berkenaan kerana Ketua Menteri (Lim) telah bersetuju untuk melantik pihak peguam swasta, bagi meneliti perjanjian tersebut.

“Saya akur akan keputusan Ketua Menteri yang ingin melantik firma peguam swasta tersebut untuk meneliti perjanjian ini. Jika Ketua Menteri memutuskan untuk melantik pihak swasta untuk meneliti apa-apa perjanjian, Ketua Menteri hendaklah menetapkan tanggungjawab kepada peguam swasta, untuk menjaga kepentingan Kerajaan Negeri.

“Merujuk kepada butir-butir minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri 19/2013, Ketua Menteri telah bersetuju untuk melantik firma peguam swasta bagi menyediakan draf perjanjian awalan. Saya hanya mengetahui dokumen ini disediakan oleh firma guaman swasta Lee Hishamuddin Allen & Gledhill,” katanya.

Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan telah mengemukakan sijil kematian Pengarah Urusan Ewein Zanith Sdn Bhd, Datuk Ewe Swee Kheng yang ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah kondominium di Jalan Kelawai, Pulau Pinang pada 5 Okt lepas.

Mendiang yang berumur 53 tahun itu merupakan saksi pendakwaan ke-15 yang sepatutnya dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima wang rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town, antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Dalam pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh oleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur, pada Mac 2011.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dengan dua tuduhan menyebabkan dua plot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 29 Nov ini, lapor Bernama.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu