Nation
240

Ada seseorang suruh saya tumbuk Zulfarhan : Saksi

Kuala Lumpur – Seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa ada seseorang menyuruhnya menumbuk pegawai kadet laut Zulfarhan Osman Zulkarnain semasa mangsa berada di dalam biliknya di blok penginapan Asrama Jebat, universiti berkenaan.

Muhammad Alif Farhan Aerosni, 25, yang merupakan saksi pembelaan ke-20 itu bagaimanapun berkata dia tidak pasti siapa individu yang menyuruhnya bertindak sedemikian dalam kejadian pada 2.05 pagi, 22 Mei 2017.

“Saya sampai di bilik (saya) 04-10 masa itu bilik gelap, semua orang tengah duduk di tempat duduk mereka. Mereka tanya saya nak buat apa, saya jawab nak ambil telefon bimbit di atas katil, kemudian ada seseorang menyuruh saya menumbuk arwah (Zulfarhan) dahulu, saya kemudian tepuk bahu dia (Zulfarhan).

“Selepas mengambil telefon bimbit dan menepuk bahu arwah, saya kemudian keluar dari bilik itu dan seterusnya ke bilik 04-11,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam Datuk Ranjit Singh Dhillion yang mewakili tertuduh ketiga, Muhammad Najib Mohd Razi pada prosiding bela diri 18 pelajar UPNM terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Bilik 04-10 adalah bilik yang Zulfarhan Osman didakwa dipukul dan ditekap seterika wap.

Ditanya Ranjit Singh, apa yang Muhammad Najib sedang lakukan semasa saksi pergi ke bilik 04-10, Muhammad Alif Farhan memberitahu Muhammad Najib yang juga rakan sebiliknya sedang tidur.

Ranjit Singh: Adakah Muhammad Najib bersama dengan awak ketika awak pergi ke bilik 04-11?

“Muhammad Najib tidak bersama saya, namun dia (Muhammad Najib) datang ke bilik 04-11 beberapa minit kemudian. Kami terpaksa pergi ke bilik 04-11 untuk mengulang kaji (pelajaran) kerana ada ujian Sains Sukan,” jawab Muhammad Alif Farhan yang turut memaklumkan dia mengenali arwah (Zulfarhan).

Disoal peguam mengenai keadaan di bilik 04-10, saksi tersebut berkata semasa dia berada di bilik itu, keadaan bilik suram, kurang cahaya dan ada ramai kadet yang lain namun pada masa yang sama dia tidak mendengar atau melihat kadet-kadet terbabit menyoal arwah (Zulfarhan).

Ditanya peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakil tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, sama ada saksi nampak anak guamnya itu melakukan sesuatu di bilik 04-10, saksi itu menjawab dia tidak nampak Muhammad Akmal Zuhairi berbuat apa-apa.

Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya N.Joy Jothi, adakah saksi bersetuju individu yang menyuruhnya menumbuk Zulfarhan adalah tertuduh keenam, Abdoul Hakeem Mohd Ali, saksi menjawab: “Tidak setuju”.

Joy Jothi: Awak pasti bukan dia (Abdoul Hakeem)?

Muhammad Alif Farhan: Bukan, sebab lepas ‘training’ (latihan), suara masing-masing serak.

Muhammad Alif Farhan juga tidak bersetuju dengan cadangan Joy Jothi bahawa keterangannya tidak sepenuhnya benar dan hanya untuk menyelamatkan rakan-rakannya yang telah dituduh.

Mengenai cadangan Joy Jothi, adakah ketika kejadian keadaan Zulfarhan berikat (tangan), tidak berbaju dan memakai seluar pendek, saksi menjawab: “Saya tidak bersetuju kerana ketika kejadian Zulfarhan tengah berdiri, tidak memakai baju, tangan tidak berikat, namun yang memakai seluar pendek saya tidak ingat.”

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Mereka yang dituduh melakukan perbuatan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK), manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan, juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka yang dituduh melakukan perbuatan itu di bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi 21 Mei 2017, didakwa mengikut Seksyen 330 KK dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung Khamis ini. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu