Social
187

Ada warga asing terlibat melombong emas secara haram

Bau – Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon hari ini mengesahkan terdapat penglibatan warga asing dalam kegiatan melombong emas secara haram di Gua Gunung Tabal, Jalan Taiton di sini.

Beliau berkata pada November tahun lepas, 34 warga Indonesia ditahan di sekitar daerah Bau, yang terletak berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia, dan siasatan polis mendapati mereka terlibat kegiatan melombong secara haram itu di kaki gunung berkenaan.

“Mereka ditahan oleh pasukan polis di sekitar daerah Bau dan didapati ada beberapa orang daripada mereka yang positif COVID-19 sehingga menyebabkan beberapa anggota polis yang menahan mereka turut dijangkiti,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi tragedi terbaharu runtuhan terowong di kaki gunung itu.

Menurut beliau, kes berkenaan telah dilaporkan kepada Jabatan Imigresen dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menyebabkan kesemua warga asing terbabit diusir pulang ke negara asal mereka.

Katanya, dua mesyuarat peringkat Pejabat Residen telah diadakan bagi membincangkan isu pencerobohan dan melombong emas secara haram di kawasan larangan berkenaan.

Dalam kejadian terbaharu semalam, seorang lelaki berusia 25 tahun dikenali sebagai Martin Mat Tapa, ditemukan maut di bawah runtuhan terowong di dalam Gua Gunung Tabai.

Dalam pada itu, Poge menasihatkan masyarakat setempat agar tidak lagi menceroboh kawasan Gunung Tabal yang juga kawasan Taman Negara.

Menurutnya, pihak SFC akan memasang papan tanda amaran dan membuat kawalan di sekitar kawasan itu dengan dibantu pihak polis dan penceroboh boleh diambil tindakan di bawah Ordinan Perbadanan Perhutanan Sarawak.

Pada 2011, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut manakala seorang lagi lelaki berusia 37 tahun parah selepas dihempap batu apabila terowong sempit yang digali mereka sewaktu mencari emas itu runtuh.

Pada 2012, seorang pencari emas maut di gua berkenaan akibat runtuhan terowong dan keluarganya merelakan jasad lelaki berusia 30-an disemadikan di bawah runtuhan berikutan kesukaran mengeluarkannya kerana faktor keselamatan pasukan penyelamat. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu