Social
139

Adik tikam abang gara-gara motosikal

Kuala Lumpur – Polis menahan seorang remaja lelaki berumur 15 tahun kerana disyaki menikam abangnya dalam pergaduhan di bawah blok sebuah pangsapuri di Taman Putra Damai, Kelana Jaya dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata dalam kejadian kira-kira 12.08 tengah hari itu, mangsa berusia 24 tahun dan rakannya, 19 tahun, masing-masing cedera pada bahagian dada, perut dan belakang badan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila mangsa berang selepas mengetahui remaja tersebut menunggang motosikal tanpa pengetahuan kakaknya.

“Rakan mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan itu turut cedera akibat terkena pisau lipat berukuran empat inci yang digunakan suspek dalam kejadian ini.

“Kedua-dua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek yang tidak bersekolah itu ditahan sejurus selepas kejadian dan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu