Nation
224

ADUN perlu bantu rakyat, elak terlalu berpolitik, titah Sultan Selangor

Shah Alam – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor supaya tidak terlalu banyak berpolitik dan berebut kuasa serta kedudukan sehingga melupakan tanggungjawab utama untuk membela nasib rakyat.

“Tidakkah Ahli-ahli Yang Berhormat sedar bahawa apabila pemimpin-pemimpin politik berebut kuasa dan keadaan politik menjadi tidak stabil maka, rakyat yang terpaksa menanggung kesusahannya.

“Nampaknya Ahli-ahli Yang Berhormat tidak mahu belajar dari sejarah tentang kejatuhan sesebuah negara akibat perebutan kuasa yang mengakibatkan perpecahan dalam kalangan masyarakat,” titah baginda sambil menzahirkan rasa dukacita dan kesal melihat pergolakan, pertelagahan dan ketidaktentuan politik negara yang begitu ketara sejak kebelakangan ini.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-14, di Dewan Negeri Selangor di sini.

Sultan Selangor bertitah ADUN sudah pastinya menyedari betapa rakyat ketika ini berada dalam keadaan susah dan menderita di kala negara sedang berhadapan wabak COVID-19 dan sepatutnya lebih prihatin tentang masalah rakyat di kawasan masing-masing khususnya, dalam mengenal pasti bantuan yang perlu disalur kepada mereka yang terjejas.

Baginda bertitah wakil rakyat juga sepatutnya menyemak jumlah rakyat yang hilang pekerjaan dan mencari jalan untuk membantu golongan itu selain mendapatkan data individu yang kehilangan ibu bapa, tempat pergantungan dan berhadapan dengan masalah tekanan hidup.

Menurut baginda, hal ini penting agar perkara itu boleh dibawa ke pengetahuan kerajaan negeri untuk ditentukan bentuk bantuan yang boleh dihulurkan kepada rakyat.

“Bantulah mereka, carilah mereka, bukan sekadar mencari mereka untuk mendapatkan undi sewaktu pilihan raya semata-mata,” titah baginda.

Sultan Selangor juga mengingatkan Ahli Dewan bahawa mandat yang diberi oleh rakyat merupakan amanah daripada Allah yang perlu dilaksana dengan jujur, bertanggungjawab dan penuh keikhlasan, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu