Nation
287

ADUN Sindumin Yusof Yacob umum keluar Warisan

Kota Kinabalu – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob hari ini mengumumkan keluar Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk menjadi ADUN bebas yang menyokong kerajaan negeri ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bekas Ketua Penerangan Warisan itu berkata tindakan tersebut diambil kerana mahu membantu rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin dan daerah Sipitang dalam menyelesaikan pelbagai masalah, selain berusaha membawa pembangunan ke kawasan itu.

“Tindakan saya adalah keputusan peribadi tanpa tekanan atau pengaruh sesiapa. Saya mahu fokus bekerja untuk rakyat yang saya wakili, bukan teriak-teriak di kedai kopi tetapi tiada apa-apa dilakukan untuk rakyat,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018, Yusof, 66, menang kerusi DUN Sindumin dengan majoriti 760 undi dalam saingan tiga penjuru, sebelum mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, tahun lepas dengan majoriti 424 undi dalam saingan enam penjuru.

Dengan perkembangan terbaru itu, Warisan yang memenangi 23 kerusi DUN pada pilihan raya tersebut, kini tinggal 20 kerusi setelah ADUN Bugaya Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia November tahun lepas dan ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir keluar parti pada Februari lalu.

Yusof berkata beliau telah berbincang dan menyatakan hasrat keluar parti dengan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Semporna itu tiada halangan untuk beliau berbuat demikian.

“Kita bincang sebagai sahabat, beliau tiada halangan kerana dalam politik begitulah keadaannya, hari ini berkawan esok berpisah. Saya secara peribadi tidak mahu bermusuh dengan sesiapa, saya mahu jaga rakyat mahu jaga negeri Sabah.

“Saya dengan Warisan tiada masalah dan bersikap terbuka, saya bersedia dengan apa-apa tindakan selepas ini. Saya juga akan memberi surat makluman kepada Speaker DUN (Datuk Kadzim M Yahya),” katanya.

Ditanya tentang reaksi Warisan Bahagian Sipitang dan pengundi DUN Sindumin, katanya terserah kepada mereka mengatakan apa sahaja atau mengikut jejak langkahnya, namun apa yang penting beliau dapat berkhidmat dengan lebih baik untuk rakyat diwakilinya.

Yusof berkata dengan menjadi ADUN Bebas, beliau boleh menjalinkan kerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk ahli politik serta jabatan dan agensi kerajaan tanpa sebarang kekangan atau halangan.

“Saya boleh jumpa dan bincang dengan Ketua Menteri (Datuk Hajiji Noor), Menteri Kerja Raya negeri (Datuk Seri Bung Moktar Radin), dengan GRS atau mana-mana pihak untuk saya selesaikan masalah rakyat saya seperti masalah air dan (Lebuh Raya) Pan Borneo.

“Rakyat kita sudah terkesan dan susah terutama ketika musim COVID-19 ini, kita kena kerja untuk rakyat, masa saya pun tidak lama lagi empat tahun, jadi saya mahu fokus tolong rakyat dalam masa ini,” katanya.

Beliau menafikan akan menyertai mana-mana parti politik buat masa ini, sebaliknya akan fokus sebagai ADUN bebas yang boleh bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan rakyat.

Ditanya mengenai kehadiran ADUN Klias Datuk Isnin Aliasneh daripada Bersatu pada sidang media itu, Yusof berkata kehadiran Isnin hanyalah sebagai seorang rakan lama yang memberi sokongan terhadap apa dilakukannya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu