Kuala Lumpur Post

Nation

AGC fail rayuan terhadap keputusan kes bunuh CEO cradle fund

KUALA LUMPUR — Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan.

Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

“Kami sedang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp.

Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail ketika ditanya berkata notis rayuan telah difailkan melalui e-filing semalam.

Pihak pendakwaan mempunyai 14 hari untuk memfailkan notis rayuan agar Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 21 Jun, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Ab Karim Ab Rahman melepas dan membebaskan Samirah, 47 dan dua remaja yang kini berusia 19 dan 16 tahun, atas pertuduhan membunuh Nazrin, 45, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Dalam penghakimannya, Ab Karim memutuskan keterangan yang menunjukkan bahawa Samirah dan dua remaja adalah orang terakhir bersama si mati, tidak boleh dikatakan menjurus kepada kesalahan membunuh Nazrin.

Hakim juga memutuskan tiada bukti langsung yang menunjukkan bahawa mereka bertiga melakukan kesalahan (pembunuhan).

Samirah, serta dua remaja dan seorang warga Indonesia yang masih bebas Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018, lapor Bernama.

Tags: , , ,