Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

Agenda reformasi Anwar ibarat tin kosong : Muhyiddin

KUALA LUMPUR — Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin  menganggap barisan Kabinet yang diumumkan Anwar malam tadi, paling mengecewakan dalam sejarah negara, apabila seseorang yang diarah membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggadai prinsip tata kelola yang baik seperti dijaja ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila melantik kleptokrat menganggotai Kabinetnya, kata Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

“Tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi Perdana Menteri.

“Kabinet kleptokrat yang tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat ini tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara.

“Beliau sendiri sebagai Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan, satu amalan yang membawa kepada pemusatan kuasa dan penyelewengan berskala besar seperti yang berlaku dalam kes 1MDB sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, berkata bagaimana rakyat dan pelabur boleh percaya terhadap kepimpinan Anwar apabila beliau ternyata berbohong kepada seluruh dunia mengenai agenda anti rasuah, reformasi institusi dan pembelaan nasib rakyat jelata.

Katanya, pengumuman Kabinet malam ini membuktikan prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti nyata dikompromi oleh Anwar.

“Selain itu, Ahli Parlimen yang dikenali dengan sikap cauvinis melampau dilantik menerajui kementerian tertentu yang bakal mengundang kontroversi. Boleh dijangkakan dasar bersifat perkauman yang ekstrem akan diperkenalkan.

“Sistem negara kita telah rosak apabila individu bankrap moral dan prinsip boleh dilantik menerajui negara dan yang terpalit dengan jenayah rasuah menganggotai kabinet. Rasa tanggungjawab dan belas kasihan terhadap rakyat telah tiada dan rakyat juga hilang percaya terhadap tonggak kepimpinan negara,” katanya.

Muhyiddin menyifatkan, agenda reformasi diperjuangkan Anwar selama ini ibarat tin kosong, apabila tidak dapat mempertahankan perjuangan parti sendiri untuk memerangi rasuah dan mempromosikan tadbir urus yang baik dalam lantikan Kabinet itu.

Susulan lantikan Kabinet itu, Muhyiddin berkata, nilai Anwar sebagai pemimpin sejati yang patut dihormati kini amat diragui.

Tags: ,