Nation
1K

Agong isytihar darurat di Sarawak

Kuching – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) di seluruh negeri itu mulai 2 Ogos ini sehingga 2 Februari tahun depan, sekali gus menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Dalam satu warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Julai, Seri Paduka berpuas hati darurat besar iaitu wabak Covid-19 yang sedang berlaku telah menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam.

Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, Dewan Undangan Negeri (Dun) itu sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran Dun itu.

Warta Kerajaan Persekutuan itu menyebut ordinan berkenaan akan terhenti berkuat kuasa pada 2 Ogos menurut Proklamasi Darurat yang dikeluarkan pada 11 Januari, di mana PRN Sarawak dikehendaki diadakan dalam 60 hari dari 2 Ogos mengikut Fasal (4) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak.

“Dan bahawasanya Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa dalam keadaan yang tersebut, beta boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat untuk menggantung pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri untuk menghalang daripada terus merebaknya wabak Covid-19 jika pilihan raya umum diadakan,” titah Seri Paduka dalam warta berkenaan.

Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan di Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang itu turut menyatakan perkara itu akan dibentangkan di Parlimen menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu