Nation
278

Agong, Permaisuri adakan lawatan khas ke UK

Kuala Lumpur – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan lawatan khas ke United Kingdom mulai hari ini hingga 27 Sept.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka berdua berkenan mengadakan lawatan ke Battersea Power Station, projek ikonik Malaysia di London yang merupakan usaha sama antara Sime Darby Property, SP Setia Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Seri Paduka berdua juga berkenan melawat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London pada 24 Sept bagi sesi pertemuan dengan rakyat Malaysia yang terdiri daripada usahawan, ahli akademik, pelajar serta ketua komuniti.

“Pada 25 Sept, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat melawat Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC), sebuah syarikat milik penuh Lembaga Getah Malaysia dan satu daripada institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) getah terkemuka dunia,” menurut kenyataan itu.

Seri Paduka turut berkenan menerima kunjungan Ketua Staf Pertahanan United Kingdom Jeneral Nicholas Carter, dengan pertemuan itu akan menyentuh hubungan kerjasama pertahanan Malaysia dan United Kingdom.

Menurut Wisma Putra, secara keseluruhan lawatan khas itu melambangkan kepentingan hubungan erat antara Malaysia dan United Kingdom dimanifestasikan di peringkat pemerintahan tertinggi negara.

Selain itu, lawatan tersebut turut menzahirkan keprihatinan Seri Paduka berdua terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia serta prestasi pelaburan dan kepentingan negara di United Kingdom agar sentiasa berada dalam keadaan yang baik terutamanya semasa pandemik yang mencabar ini, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu