Nation
113

Agong & Permaisuri zahir ucapan takziah kepada rakyat Indonesia

Kuala Lumpur – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah amat berdukacita dan menzahirkan ucapan takziah kepada Presiden Indonesia Joko Widodo dan seluruh rakyat negara itu susulan tragedi menimpa kapal selam KRI Nanggala 402.

Ucapan sama turut dizahirkan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook Istana Negara hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian perajurit-perajurit dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka bersabar serta tabah menghadapi ujian pada bulan Ramadan ini.

“Sesungguhnya pemergian perajurit-perajurit kapal selam tersebut di bulan Ramadan yang mulia ini merupakan satu kehilangan yang besar buat negara Indonesia dan semoga pengorbanan mereka akan terus dikenang sepanjang masa,” titah Seri Paduka Baginda berdua dalam kenyataan itu.

Seri Paduka Baginda berdua turut berharap agar seluruh rakyat Indonesia kekal tabah dan diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga mendoakan agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

Menerusi kenyataan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin turut menyampaikan ucapan takziah Seri Paduka Baginda berdua kepada Duta Besar Indonesia di Malaysia Hermono.

KRI Nanggala 402 dilaporkan terputus hubungan pada 4.25 pagi Rabu lepas ketika dalam misi latihan penembakan torpedo di utara perairan Bali, yang turut disertai 21 kapal Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI), lima pesawat tempur dan satu kapal selam lain. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu