Nation
553

Agong ucap tahniah kepada 2 kadet bakal sertai Akademi Tentera AS

Kuala Lumpur – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada dua kadet dari Malaysia atas kejayaan mereka dipilih memasuki Akademi Tentera Amerika Syarikat pada tahun ini.

Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan yang dicapai oleh Mohamad Khairel Adha Mohad Khairee dan Nicholas Ong Yong Xen itu.

“Al-Sultan Abdullah berbangga kerana mereka berdua dipilih daripada calon dari seluruh dunia yang bersaing untuk mendapatkan tempat di akademi tersebut.

“Kejayaan ini juga membuktikan lagi bahawa kita mampu bersaing dan berjaya di peringkat antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama Malaysia,” demikian menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Istana Negara hari ini.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan harapan kejayaan mereka berdua menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan belia, untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang masing-masing.

Baginda turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada kedua-dua kadet berkenaan dalam menimba ilmu dan pengalaman seumur hidup ini di akademi tersebut.

“Seri Paduka Baginda mendoakan semoga mereka berdua dilimpahi kejayaan cemerlang dan menggunakan pengalaman serta ilmu yang diperoleh di akademi tersebut untuk berbakti kepada negara yang kita cintai bersama ini,” demikian menurut kenyataan itu.

Semalam, Kedutaan Amerika Syarikat mengumumkan kejayaan kedua-dua kadet itu dengan Mohamad Khairel Adha akan memasuki Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat, manakala Nicholas Ong Yong Xen pula ke Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat.

Upacara penghantaran secara maya dua kadet tersebut akan disiarkan menerusi laman Facebook kedutaan itu pada 9 Jun ini bermula 9 pagi. — Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu