Nation
246

Ahli KWSP kini boleh langgan sehingga lapan dana unit amanah

Kuala Lumpur – Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menggunakan kemudahan pelaburan dalam talian layan diri i-Invest kini boleh melanggan sehingga lapan dana unit amanah dengan had maksimum daripada lima institusi pengurusan dana (FMI) untuk satu urus niaga pembelian.

Sebelum ini ahli KWSP hanya boleh melanggan dana unit amanah daripada satu FMI sahaja untuk satu urus niaga sahaja, kata KWSP.

“Ciri-ciri yang dipertingkatkan untuk i-Invest ini membolehkan ahli mengakses lebih baik dengan cekap apabila melabur melalui kemudahan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, urus niaga itu hanya dapat dilakukan melalui Penasihat Skim Unit Amanah Institusi (IUTA) dilantik yang menawarkan dana daripada pelbagai FMI.

Ia berkata ahli KWSP masih boleh melanggan dana daripada FMI individu sekiranya mereka memilih untuk berbuat demikian.

Selain itu, pengguna i-Invest kini dikehendaki melakukan penilaian kesesuaian pelaburan sebelum menjalankan sebarang urus niaga dan penilaian itu akan memaparkan toleransi risiko ahli, membolehkan mereka membuat pilihan pelaburan yang sesuai dengan selera risiko pelaburan mereka.

Dana persaraan itu berkata kemudahan i-Invest KWSP, yang dilancarkan pada bulan Ogos 2019 adalah platform dikuasai digital yang memberikan fleksibiliti, fungsi dan kemudahan lebih banyak kepada bagi ahli KWSP untuk melabur, berurus niaga dan memantau pelaburan unit amanah mereka bila-bila masa dan di mana sahaja.

“Menerusi kemudahan itu, ahli KWSP boleh membandingkan dana unit amanah berbeza yang ditawarkan oleh FMI, mendapatkan pandangan mengenai pegangan pelaburan mereka dan maklumat mengenai kos pelaburan, prestasi dana sejarah serta maklumat kewangan yang diperlukan,” katanya.

Sebagai kemudahan layan diri yang memberi kuasa kepada ahli KWSP mengurus masa depan kewangan mereka, KWSP akan memastikan garis panduan tadbir urus dalam i-Invest dipatuhi dengan ketat oleh badan-badan yang mengambil bahagian, kata KWSP.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu