Nation
247

‘Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi hanya boneka’ : Pendakwaan

Kuala Lumpur – Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi (YAB) hanyalah ‘boneka’ dikawal oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pelantikan mereka hanya untuk memenuhi kerusi jawatan yayasan itu, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata kesemua ahli lembaga pemegang amanah itu tidak membuat sebarang sumbangan dan semua arahan itu datang daripada Ahmad Zahid.

“YAB pada dasarnya adalah beliau (Ahmad Zahid) kerana beliau adalah penyumbang utama kepada yayasan itu. Pemegang amanah yang lain hanyalah boneka. Seolah-olah Samsuri (Samsuri Tun), Prof Zulkifli (Dr Zulkifli Senteri), Nabil (Muhammad Nabil Saleh) dan Datuk Khairuddin (Datuk Khairuddin Tarmizi) dilantik semata-mata untuk memenuhi kerusi (lembaga pemegang amanah).

“Ahmad Zahid adalah orang yang mengawal di belakang YAB dan di samping itu, beliau adalah penandatangan tunggal cek YAB. Tertuduh berada dalam kedudukan yang membolehkannya menggunakan dana yayasan, sesuai dengan kehendak dan keinginannya,” hujah Raja Rozela di akhir kes pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid.

Beliau menambah Ahmad Zahid juga mempunyai keupayaan untuk menentukan aliran masuk dan keluar dana YAB.

“Pendakwaan berhujah bahawa tertuduh sebenarnya telah menggunakan kuasanya apabila beliau secara tidak jujur menyalahgunakan dana YAB untuk kepentingan peribadinya,” katanya.

Raja Rozela seterusnya berhujah bahawa pada 4 April 2012, Ahmad Zahid menjadikan dirinya penandatangan tunggal bagi akaun bank YAB.

“Resolusi itu ditandatangan tertuduh, Muhammad Nabil dan Khairuddin. Pertukaran penandatangan ini berkuat kuasa pada 20 Jun 2013, seperti yang dinyatakan dalam Borang Kemas kini Tandatangan,” tambahnya.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu