KUALA LUMPUR — Seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat berkaitan pertanian bergelar datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas disyaki mengemukakan dokumen palsu berjumlah RM500,000.
Lelaki berusia 40-an terbabit ditahan pasukan SPRM Perlis pada 4.30 petang Selasa, ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan.
Menurut sumber, suspek disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran matan palsu untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan.
“Kesalahan itu dilakukan sekitar awal tahun 2020 bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan berjumlah kira-kira RM 500,000 daripada sebuah bank pertanian.
“Ia bagi tujuan untuk membiayai kos tetap dan operasi penanaman ubi kayu serta pisang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Bagaimanapun, beliau berkata, suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM.