Nation
425

Ahli Parlimen diminta serah surat akuan calon PM sebelum 4 petang esok

Kuala Lumpur – Ahli-ahli Dewan Rakyat diminta menyerahkan satu surat akuan bersumpah untuk menamakan seorang calon perdana menteri kesembilan, demikian menurut notis yang ditandatangani Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Notis bertarikh 17 Ogos itu bagi membolehkan seorang daripada mereka yang mempunyai kepercayaan majoriti dilantik sebagai perdana menteri susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

“Pada melaksanakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat supaya menyerahkan surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Yang Berhormat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan,” menurut notis itu.

Surat akuan bersumpah itu perlu diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya esok sebelum 4 petang, atau ia tidak akan diambil kira.

Menurut Azhar, ini selaras Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan budi bicara perlu melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang dalam hemat Seri Paduka mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

“Ahli-ahli Yang Berhormat diperingatkan untuk menjaga kerahsiaan Surat Akuan itu sehingga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan,” katanya dalam notis berkenaan.

Azhar berkata surat akuan bersumpah itu tidak dibenarkan dihantar melalui serahan tangan untuk mengelakkan penularan COVID-19 memandangkan Istana Negara masih berada dalam kawasan Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu